Tuesday, June 16, 2009

Yankari Trip


Pernah tak tengok air sungai warna biru?


Kami pergi ke Yankari Reserve Game di Bauchi State, kami bertolak 8.30pagi dan sampai 1 ptg, di sana kami, sebelum itu kami buat sedikit persiapan seperti penyediaan makanan, rumah kami ditugaskan memasak nasi goreng & sandwic, rumah wan (bihun), tana (ayam) bihun so kami kumpul N1000 sorang, sampai disana kami terus makan 'picnic' bawah pokok, selesai makan, aku, haizi dan jamal terus pergi mandi kat wiki warm spring, yg lain naik jip khas melihat safari..lepas tu baru dia orang join kami mandi, kami bertolak balik dalam pukul 5 dan sampai di rumah, dalam pukul 1030 malam, dalam perjalanan Kereta aku (dengan jamal, isyaku) driver kami Ali tak berapa nampak jalan,di nigeria memang agak berbahaya memandu waktu malam memandangkan kenderaaan memang laju dan kadang tidak berlampu, so kami tukar driver...isyaku orang TMC. Semua penat bila sampai, yang lebih , so esoknya ahad aku buat party sandwic di rumah kami untuk habiskan bekalan yang kami kongsi untuk pergi Yankari.




http://picasaweb.google.com/iskandarsapong/TripToYankariSafariBauchiStateNigeria#

Monday, May 25, 2009

Ngap Sayot 2: Sekalung tahniah dan dalam kenangan


Petikan Utusan Malaysia 13/2/2009

Ngap Sayot, jolokan kepada pasukan Sarawak ketika itu yang dikemudikan oleh bekas jurulatih, Awang Mahyan Awang Mohamed pada tahun 1988 hingga 1990 mempunyai tradisi keunggulan bola sepak yang dimiliki pasukan itu.


Ngap Sayot yang menggambarkan daya juang dan persembahan bola sepak yang cantik dengan kesetiaan peminat pasukan itu sedikit pun tidak goyah malah mendapat kepuasan penyokong terutama ketika zaman kemuncaknya pada dekad 80-an dan awal 90-an.


Pasukan yang penuh dengan sensasi dan tidak kurang kontroversinya ini, Ngap Sayot yang suatu ketika pernah dilabel sebagai pasukan gergasi dalam Liga Malaysia, bagaimanapun semakin merudum sejak dua dekad lalu.


Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) setakat ini belum mampu membawa kebangkitan dengan rekod kalah lebih banyak mewarnai pasukan yang turut digelar skuad Bujang Senang ini.


Penyertaan dalam Liga Super dan kini Liga Perdana serba tidak menjadi dengan yang terbaru kecundang 1-2 kepada pasukan kelab, Felda United di laman sendiri.


Utusan Malaysia yang berpeluang berbual dengan bekas jurulatih Ngap Sayot, Awang Mahyan, 58, menyingkap kembali sejarah kegemilangan bola sepak di negeri ini ketika era para penyokong menggegarkan Stadium Negeri, Petra Jaya dengan laungan serta nyanyian Ngap Sayot! Ngap Sayot! Ngap Sayot!


Kenapa Ngap Sayot?


Awang Mahyan memberitahu, idea Ngap Sayot itu muncul ketika beliau bersama pemain Sarawak iaitu Affendi Jol, Ali Sapiee, Khairul Jamil dan Roslan Mustafa bermain snuker.


Menurutnya, beliau bukan seorang yang handal bermain snuker dan disebabkan itu mereka yang lain menjadikan dirinya sebagai ‘Ngap Sayot’ yang mempunyai maksud ’senang dimakan’ (mudah untuk dikalahkan).


”Apabila melatih para pemain di stadium, maka saya terfikir untuk menjadikan Ngap Sayot sebagai slogan pasukan Sarawak, yang membawa makna pasukan lain senang dimakan seperti empat orang tadi (Affendi, Ali, Khairul dan Roslan) menggambarkan saya dalam permainan snuker.


”Boleh dikatakan slogan tersebut berjaya menaikkan semangat para pemain malah semangat itu boleh diterjemahkan dalam konteks pasukan Sarawak tidak gentar dengan mana-mana pasukan sekalipun berdepan pasukan Brazil,” katanya.


Menggambarkan pasukan bola sepak era Ngap Sayot iaitu pada tahun 1988, Awang Mahyan memberitahu, pasukan itu dipenuhi dengan semangat berpasukan yang tinggi, permainan agresif, lincah, lasak, permainan cantik, strategi efektif, jati diri Sarawak dan penuh kontroversi.


Pasukan Ngap Sayot ini, katanya, masih diingati oleh para pemain dan penyokong ketika itu malah menggambarkan zaman tersebut sebagai sejarah bola sepak Sarawak yang paling gemilang.


”Pasukan Ngap Sayot ketika itu diwakili oleh anak jati Sarawak kecuali seorang sahaja dari Semenanjung dan tiada pemain import dalam pasukan ini.


”Meskipun menjadi pasukan belasahan oleh pasukan elit dalam kejohanan liga, namun Ngap Sayot boleh berbangga kerana begitu kebal di stadium sendiri iaitu Stadium Negeri,” ujarnya.


Apa yang menambahkan lagi semangat pasukan ini, Awang Mahyan berkata, setiap kali perlawanan di Stadium Negeri ia akan dipenuhi oleh para penyokong dari serata pelosok negeri.


Malah para penyokong ketika itu, jelasnya, semua bersatu hati memakai baju merah, berikat kepala dan berselendangkan ‘Ngap Sayot’ memenuhi segenap ruang stadium dengan membingitkan suasana dengan sorakan.


Suasana seumpama itu, katanya, menyebabkan keadaan stadium seolah-olah bergegar hingga pasukan lawan menjadi gentar kepada pasukan Ngap Sayot itu.


”Sehingga hari ini belum ada suasana malah semangat juang yang tinggi oleh para pemain sekarang yang dapat mengulangi keunggulan serta kemuncak bola sepak Sarawak pada zaman berkenaan,” jelasnya.


Dalam kegemilangan era Ngap Sayot, terdapat juga kejadian aneh dan insiden pelik berlaku di Stadium Negeri sebelum perlawanan hingga ada yang menggambarkan pasukan tersebut menggunakan ilmu hitam serta bomoh.


Ini kerana, kata Awang Mahyan, pernah berlaku beberapa kali kucing berwarna hitam muncul di stadium setiap kali perlawanan yang didakwa membawa kemenangan kepada pasukan itu.


Ada segelintir penyokong veteran ketika itu mempercayainya bagaimanapun bagi Awang Mahyan sendiri, perkara itu adalah kebetulan dan Ngap Sayot tidak pernah berkaitan dengan kejadian bomoh atau ilmu hitam itu.


”Bagi saya perkara itu mungkin dilakukan oleh para penyokong yang nakal dan sengaja melepaskan kucing ke padang sebelum perlawanan yang kemudian dianggap sebagai ilmu yang tidak betul ini.


”Pada masa yang sama, kebetulan Ngap Sayot memperoleh kemenangan dan terus disangka bahawa ia ada kaitan dengan kucing hitam manakala pasukan lawan pun turut terjebak oleh kejadian itu yang saya anggap tidak lebih daripada permainan psikologi,” katanya.


Bukan setakat itu sahaja, Awang Mahyan memberitahu, beliau yang ditemuramah oleh sebuah stesen radio di Kedah sewaktu Sarawak menentang negeri jelapang padi itu dikatakan layak sebagai bomoh dan bukan jurulatih.


Bagaimanapun, Awang Mahyan tidak pernah mengambil peduli perkara itu yang dianggapnya sebagai perang psikologi antara dua pasukan bersaing.


Malah pernah satu ketika, laporan sebuah akhbar mengatakan Awang Mahyan menggunakan ilmu hitam menyebabkan beliau sengaja menggunakan keadaan itu dengan membakar sesuatu sewaktu berada di padang yang kemudian disangka kemenyan lalu menimbulkan rasa gerun para pemain lawan.


Bagaimanapun, perkara yang paling menonjol dan popular malah menjadi ingatan sehingga hari ini adalah kejadian Awang Mahyan terjun ke Sungai Sarawak dari Jambatan Gantung Satok bersama pemain dan para penyokong.


Awang Mahyan mengepalai beberapa pemain dan penyokong yang terjun ke sungai ketika itu yang disaksikan kira-kira 4,000 penyokong dan mendapat liputan meluas oleh akhbar dari seluruh negara.


Terjun ke Sungai Sarawak oleh Awang Mahyan pada pukul 11 pagi itu adalah sebagai meraikan kejayaan Ngap Sayot melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.


”Pada mulanya saya cabar pemain, kalau menang saya akan terjun ke Sungai Sarawak dari Jambatan Gantung Satok dan mereka pula harus berlari balik ke hotel di pusat bandar dari Stadium Negeri.


”Sebaik sahaja menang, para pemain yang tidak mengira penat lelah lalu berlari balik ke penginapan hotel di pusat bandar, jadi keesokannya saya pula terjun dari Jambatan Gantung Satok,” katanya.


Ibarat cuaca yang disangka panas hingga ke petang, tetapi ia tidak berlaku kepada pasukan Ngap Sayot kerana telah berlaku krisis besar dalam bola sepak Sarawak di Stadium Merdeka ketika menentang pasukan Kuala Lumpur dalam Piala Malaysia pada tahun 1989.


Awang Mahyan memberitahu, keadaan menjadi tegang apabila pengadil perlawanan ketika itu, Steven Ovinis melayangkan kad merah kepada pemain Sarawak yang dikatakan membuang masa sedangkan pemain tersebut perlu mendapatkan rawatan.


Para pemain, katanya, tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil telah menyerbu ke arah Ovinis membantah keputusan tersebut namun gagal lalu memboikot perlawanan sehingga berlaku pergelutan dan pengadil mendakwa telah ditolak jatuh oleh pemain.


”Keadaan yang semakin tegang menyebabkan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) menyerbu ke arah pemain Sarawak dan mengkasari mereka menyebabkan saya berasa tidak puas hati ketika itu.


”Pemain Sarawak bukan ’samseng’ yang harus dikasari tetapi mereka adalah pemain bola sepak dan kenapa FRU berbuat demikian,” katanya mengimbau semula kejadian di Padang Merdeka itu.


Dalam kejohanan liga, Awang Mahyan memberitahu, pasukan Sarawak boleh dikatakan pasukan musuh tradisi kepada Selangor selain beberapa pasukan lain seperti Brunei, Perak, Perlis dan Kedah.


Antara pemain legenda Ngap Sayot adalah Affendi Jol, Ali Sapiee, Pengiran Bala, Herman Bulang, Abu Bakar Amran, Daud Hamid, Jalil Ramli, Johny Peter, Khairul Jamil, Aedi Julaihi, Franky Steven, Abdullah Salim, Roslan Ismail, Azmi Arif, Roslan Mustafa, Keria Meria, Sulaiman Mustanir, Borhaniza Abu Bakar, Razak Ismail dan Busman Ismail.



Ngap Sayot! Ngap Sayot! Ngap Sayot!

Salam,
Ngap Sayot!!, mungkin ada di kalangan kita tidak mengerti maksudnya.Dan mengapa saya memilih Tajuk ini sebagai pembuka blog dan dijadikan blog title. Di sini ingin saya berkongsi pengalaman dan sejarah dan tauladan hidup yang serba sedikit mempengaruhi hidup saya sekarang dan juga menyuntik semangat serta mengharungi hidup yang penuh mencabar ini. semuga dengan tertulisnya blog ini agar saya dapat melihat kembali kenangan sepanjang hidup ini dan juga untuk dikongsikan bersama-sama keluarga, kawan-kawan, anak-anak pada masa depan nanti dan juga cucu cicit pada bila bila masa dan dimana-mana sahaja di dunia ini walaupun saya tidak lagi ada di dunia ini dan doakanlah kesejahteraan saya nanti.Amin. Insyaallah. Itulah harapan saya.
  1. Bagi peminat bola sepak malaysia dan sarawak khusunya dihujung tahun 1980an mungkin ada yang pernah mendengar slogan "Ngap Syot!Ngap Sayot!" yang diilhamkan oleh Jurulatih Bola sepak Sarawak ketika itu Encik. Awang Mahyan Anwang Mohamed yang mencetuskan fenomena gelombang bola sepak yang tidak pernah dilihat di bumi bertuah bumi kenyalang walaupun sehingga saat ini, fenomena ini tidak dapat menandingi kehebatan gelombang Ngap Sayot.
  2. Saya masih ingat ketika itu tahun 1988 pasukan bola sepak Sarawak yang terdiri dari anak watan Bumi Kenyalang tanpa pemain import mahupun mengimport pemain dari negeri lain sering dilabelkan sebagai budak belasahan (underdog) berjaya menumpaskan lawan besar dalam Piala Malaysia seperti Johor pada perlawanan suku akhir setrusnya berjumpa Kedah pada perlawanan Separuh akhir.
  3. Pada waktu itu, saya masih ingat semua orang dari pelusuk sarawak khususnya di Kuching (tempat saya lahir dan dibesarkan) bercerita tentang Ngap sayot, di kedai kedai kopi, di sekolah, budak-budak sekolah yang bermain bolasepak ketika itu menjadikan pemain-pemain sarawak sebagai idola mereka seperti dengan berangan mereka adalah pemain itu. Tidak ketinggalan juga adalah saya.
  4. Saya sendiri dan rakan-rakan darjah ketika itu darjah 2 mengingati semua nama pemain serta no jersi pemain Sarawak. Saya masih ingat pemain pujaan saya Jalil Rambli (no. 18), Roslan Ismail (no. 4), dan pemain yang lain saya tak ingat no jersi seperti Zafari Manai, Mohd Ali Sapiee, Afendi Jol (Goal Keeper)
  5. Media tempatan Sarawak (terutamaThe Borneo Post dan Sarawak Tribune) dan radio tempatan (Radio Malaysia Sarawak dengan rancangan popularnya" Selamat Pagi Bumi Kenyalang" atau singkatnaya SPBK dengan DJ yang famous Mohsen Fran, sentiasa pada pagi-pagi terdengar dicorong-corong radio ucapan syabas dari panggilan telefon oleh peminat dan juga kadang kala dibincangakan juga jangkaan perlawanan akan datang khususnya beberapa hari sebelum perlawanan diadakan di Stadium Keramat Stadium Negeri sarawak (yang ketika itu hanya mampu menampung 10 000 orang sahaja).
  6. Seingat saya, ada seorang peminat setia (boleh saya katakan) adalah pemangil tetap dalam slot DJ tersebut (kalau tak silap saya Pak Oden namanya). Sering sahaja pendengar dihiburkan dengan kata-kata semangat dan lawak2nya yang "mengutuk pihak lawan" serta juga mutu perlawanan.
  7. Pada waktu itu juga bergema nyanyian lagu "Ngap Sayot" di stadium dinyanyikan oleh penyokong-penyokong fanatik dan juga di stesen radio tempatan.
  8. Perkara yang paling saya ingat adalah perlawanan Separuh Akhir Piala Malaysia menentang Kedah dimana itulah kali pertama pasukan Ngap Sayot lawak ke peringkat setinggi itu dalam Piala Malaysia. Penyokong berasak-asak dimana stadium yang hanya memuatkan 10,000 orang dikatakan pada malam tersebut jumlah yang datang lebih 2 kali ganda dan pagar stadium "dirobohkan" untuk menampung jumlah penyokong fanatik yang terlalu ramai sehingga ada dikalangan mereka tidak bertiket. Mak dan ayah juga turut sama menyaksikan perlawanan pada malam itu. Tetapi akibat daripada peristiwa tersebut, perlawanan terpaksa ditangguhkan dan diadakan di gelangang bekecuali iatu di Kota Singa dan Pasukan Ngap Sayot tumbang 0-1 kepada Kedah. Tetapi syabas buat Ngap Sayot!
  9. Sudah dua dekad berlalu, mungkin masih ada yang ingat kegemilangan bola sepak Sarawak pada era tersebut, namun ia kian dilupakan kerana faktor masa.
  10. Itu diantara yang boleh saya kongsikan dan saya katakan fenomena atau gelombang NGAP SAYOT yang melanda bumi kenyalang dua dekad dahulu.
  11. Sebenarnya ingin saya ceritakan adalah bukanlah kisah bola semata-mata, tetapi semangat juang, fenomena gelombang Ngap Sayot ingin saya jadikan iktibar kita semua menempuhi cabaran yang amat mencabar walaupun tugasan adalah amat mencabar bagi kita pada masa-masa hadapan.
  12. Jangan lupa jasa orang terdahulu dan kita amat mudah melupakan jasa baik orang terhadap kita tetapi" jasa" buruk seseorang selalu kita ingat. Ngap Sayot adalah lambang perjuangan, setia kawan, kesukaran, ketabahan tetepi kian dilupakan kerana manusia hanya bisa memuji di saat kemenangan dan kegembiraan, dan mudah lupa dan menjauihi apabila di saat kesukaran. Biar kenangan itu dilupakan tetapi semangat Ngap Sayot itu kita sematkan di dada.
  13. Kenangan dan semangat itu akan saya sematkan selamanya untuk saya kongsikan kepada anda semua. Terima kasih atas kesudian melawat blog saya dan sempena ulang tahun saya.



Stadium Negeri Sarawak pernah menjadi Gelangang Keramat pasukan Ngap Sayot